CABARAN MENGADAPATASI NORMA BAHARU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Menentang musuh yang datang secara tiba-tiba adalah satu cabaran yang amat besar kepada seseorang individu ataupun sesebuah negara, apatah lagi musuh yang datang itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kehadiran satu musuh senyap, COVID-19, ke dunia ini telah menyebabkan satu fenomena baru yang tidak pernah kita fikirkan akan berlaku sepanjang kehidupan ini. Setiap pelusuk dunia berusaha sehabis daya dalam memerangi musuh ini, termasuk negara kita Malaysia. Kehadiran tidak diundang sejenis virus yang dipanggil Coronavirus telah menggegarkan dunia dan mengubah norma kehidupan yang biasa dilalui selama ini.

COVID-19 merupakan satu penyakit berjangkit daripada Coronavirus yang baru ditemui pada Disember 2019 dan jangkitan virus ini sedang berlarutan sehingga kini. Vaksin untuk virus ini masih belum ditemui sekaligus menyebabkan kebimbingan dan ketakutan dalam diri masyarakat kerana ianya boleh menyebabkan kematian terutamanya kepada warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik. Kebimbangan penularan jangkitan ini telah menyebabkan pihak kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 9 Jun 2020. Perintah ini adalah bertujuan untuk menyekat penularan serta memutuskan tali  jangkitan daripada terus merebak di kalangan masyarakat Malaysia.

Semua institusi pengajian tinggi dan sekolah telah ditutup sebagai mematuhi arahan PKP ini. Penutupan universiti-universiti telah memberi impak yang amat besar kepada para pelajar dan tenaga pengajar, selain daripada pihak pengurusan universiti itu sendiri. Antara kesan-kesan yang jelas ialah jadual akademik para pelajar terjejas dan terpaksa diubah mengikut kesesuaian tempoh PKP, para pelajar tidak lagi dapat hadir ke kelas dan mengikut sesi pembelajaran secara fizikal seperti biasa serta aktiviti penyelidikan di makmal dan kerja lapangan juga tepaksa ditangguh.

Maka, bermulalah cabaran baru bagi para pensyarah dan pelajar dalam menangani situasi tidak terjangka ini, iaitu mencari solusi baru bagi meneruskan pembelajaran tanpa perlu bersemuka diantara pelajar dan pensyarah. Solusi paling relevan pada ketika ini adalah menjalankan pembelajaran dan pengajaran secara atas talian. Kaedah ini telah menjadi satu normal baru bagi institusi pendidikan negara dan dunia dalam menghadapi tempoh PKP. Kaedah ini telah lama dibangunkan oleh universiti-universiti di Malaysia dan sebahagian besar penggunaan kaedah ini adalah di dalam univeristi di mana para pelajar dan pensyarah menggunakan internet yang disediakan oleh pihak universiti. Perkara paling utama dalam pelaksanaan kaedah ini adalah kedua-dua pihak, pengajar dan pelajar perlu mempunyai capaian internet yang memuaskan. Namun, apabila negara menghadapi cabaran COVID-19 ini, semua pelajar dan pensyarah tidak dibenarkan berada di universiti, sebaliknya di rumah masing-masing, maka capaian internet adalah sangat terhad dan berbeza mengikut tempat, keadaan dan peralatan yang ada pada pelajar dan pensyarah pada ketika itu. Tidak semua pelajar dan pensyarah mampu menjalankan kaedah atas talian ini secara sempurna dan lengkap disebabkan oleh sumber keperluan mereka yang terhad.

Bagi sesetengah tenaga pengajar yang tinggal di kawasan yang rendah capaian internetnya, menjalankan kuliah secara lansung atas talian atau dipanggil kaedah synchronous akan menjadi satu cabaran besar. Kuliah mereka kerap terputus yang menyebabkan pelajar dan pensyarah itu sendiri hilang tumpuan. Memuatnaik video kuliah yang dirakam terlebih dahulu bagi kaedah asynchronous juga mengambil masa yang lama disebabkan masalah yang sama. Namun, mendapat capaian internet yang sempurna bukanlah satu-satunya kekangan yang perlu dihadapi, cabaran lain adalah kurang kemahiran dan pengetahuan dalam menggunakan aplikasi-aplikasi atas talian yang bersesuaian. Kemahiran komputer merupakan sesuatu yang perlu dilatih dan dipelajari terlebih dahulu sebelum boleh digunakan dalam pengajaran. Sedikit masa diperlukan oleh para pensyarah ini bagi memahirkan diri terlebih dahulu sebelum ianya dapat digunakan dalam pengajaran mereka. Pada masa ini, hampir kesemua pensyarah bekerja dari rumah. Berada di rumah bersama keluarga dan anak-anak turut menjadi satu cabaran. Pensyarah mudah untuk hilang fokus kerana anak-anak yang sentiasa ada bersama mereka terutamanya anak-anak yang masih kecil dan perlukan lebih perhatian. Ini turut mengganggu masa dan perancangan mereka ketika bekerja di rumah. Mengekalkan tumpuan dan minat pelajar pada 1-2 jam kuliah secara atas talian juga bukan satu perkara yang mudah. Terdapat sebahagian pelajar yang tidak dapat memberi tumpuan penuh dan tidak fokus ketika kuliah atas talian berbanding kuliah konvensional. Maka pensyarah perlu memainkan peranan sebagai pengajar yang mampu memberi dinamik dalam teknik pengajaran agar pelajar yang mempunyai masalah seperti ini dapat kekal memberi tumpuan sehingga tamat kuliah.

Namun, walau apa jua cabaran, dugaan atau masalah yang dihadapi, kita tetap harus menerima kenyataan bahawa ini adalah normal baru yang perlu kita lakukan dan tempuhi. Setiap masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesaiannya. Setiap universiti mencuba sebaik mungkin dalam memastikan setiap pelajar dan tenaga pengajar dapat menjalankan sesi pengajaran dan pengajaran dengan sempurna. Keadaan dunia yang mendesak ketika ini menyebabkan banyak perkara dapat dibuat dengan cepat dan pantas. Pihak Universiti Malaysia Kelantan telah mengadakan banyak sesi bengkel atas talian untuk para pensyarah mempelajari aplikasi-aplikasi bersesuaian, membuat soal-selidik tentang keberkesanan pembelajaran atas talian, sentiasa memohon laporan daripada pensyarah atas setiap masalah teknikal yang dihadapi, memberi sumber-sumber rujukan secara percuma serta banyak lagi.

Semua kaedah pengajaran dan pembelajaran ini masih dalam pemantauan dan proses baik pulih, teruatamanya pada masalah capaian internet. Tiada siapa yang dapat meramalkan masa depan, maka apa yang perlu dilakukan oleh semua pada ketika ini adalah mengadpatasi diri dalam normal baru, sentiasa berfikiran positif serta bersikap proaktif dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi. Dunia selepas ini tidak akan lagi sama. Semoga negara kita akan kekal teguh menghadapi dugaan luar biasa ini.

Artikel dan Foto: Dr Nurul Akmar Binti Che Zaudin